Dinding Bicara

6:42:00 pm Malaysian Cockpit 2 Comments




Di dalam era yang serba digital, bebas dan pantas kini kita senantiasa dihidangkan atau menghidangkan  berbagai jenis sajian bahan bacaan, baik secara langsung atau tidak. Dalam Teknologi Web rangkaian sosial Facebook ini umpamanya yang terbentuk hasil daripada cetusan ilham kepuasan kreatif Mark Elliot Zuckerberg telah meninggalkan banyak perubahan kepada kita.[1]

Jika dahulu kaedah komunikasi yang kurang interaktif (mesej/teks/audio) digunakan, kini ianya berubah menjadi salah satu elemen (aplikasi/perisian) infrastruktur cara hidup (Life Style) [2] yang bukan sahaja memberi kesan terhadap penggunaan dua daripada pancaindera utama manusia[3] malah pemikiran, perasaan dan kepercayaan. Tabiat perilaku manusia berubah sama sekali, membentuk satu bangsa dan generasi baharu. Pola fikir, emosi, moral dan etika, bahkan bentuk bahasa-istilah yang semakin intertekstual terus berevolusi selari dengan tamadun dan peradaban dunia pada hari ini.

Fungsi Dinding di facebook contohnya telah mengambil tempat di dalam rutin kita yang dahulunya dikaitkan dengan anak-anak atau orang tua, hasil yang diperoleh dari interaksi dengan dinding ialah kepuasan. Berfungsi sebagai tempat menggaru belakang yang gatal, ataupun tempat buang air kecil, dinding mampu memberikan banyak kepuasan lain.

Ada pula yang mencari kepuasan dengan melindungi sesuatu kawasan daripada dikuasai oleh orang lain, seperti penghasilan Tembok Besar Negeri Cina, yang kemonumentalannya dapat dilihat dari bulan, katanya. Sehingga hari ini Negara Bekas Dinasti Qing ini terus menggantikan bentuk dindingnya sesuai kehendak kaumnya.

Di Eropah pula, ada yang mendapat kepuasan dengan menghalang penduduk sesuatu negara itu bercampur ideologi dengan negara tetangganya, seperti yang berlaku dalam penghasilan Tembok Berlin yang 70 tahun kemudian memberikan pula kepuasan kepada pemecah, pemungut dan penjual serpihannya.

Biasanya kepuasan yang didapati dari dinding timbul daripada sesuatu cabaran yang boleh didapati dari dinding itu sendiri. Sesuatu dinding tebal sebagai pelindung adalah menjadi cabaran kepada mereka yang ingin sampai kepada yang dilindungi oleh dinding ini. Begitulah keadaannya di penjara di mana menembusi dinding itu adalah satu kepuasan bagi yang dipenjarakan. Tembusan atau lubang di dinding juga memberi kepuasan lain.
Atau di dalam pasca modernisme yang cuba menunjukkan kelemahan pemikiran simplistik modernisme dengan satu yang boleh diterima akal (Geoff Bennington, "Complexity Without Contradiction," AA File, 1987). Di Malaysia pula, sama ada diterima akal atau tidak, dinding tetap digunakan dalam berbagai-bagai bentuk. Sesuatu yang tidak nampak dan tidak dapat dibuktikan seperti pendinding diterima ada.

Samalah seperti coretan dinding atau grafiti yang berleluasa di dinding-dinding keretapi bawah tanah di New York yang dianggap seni, tidaklah akan wujud tanpa dinding. Sama ada untuk mewujudkan lukisan, tebukan atau tulisan, dinding memberikan kepuasan kepada penggunanya. Kepuasan mungkin dapat menimbulkan inspirasi seperti inspirasi yang melahirkan rima anak-anak Humpty Dumpty. Begitu juga dengan rima orang tua seperti yang diinspirasikan dalam modernisme, oleh luar dalam (Robert Venturi, Complexity and Contradiction).

Selain itu, ada pula senikata "tebuk lubang dinding, intai anak dara" dari lagu Kenek-Keneklah Udang menggambarkan satu bentuk kepuasan dari lubang. tanpa dinding,siapalah lubang itu. Wall climbing, Wall Street, papan notis di pejabat kita, dinding squash, Wallpaper di desktop, dan banyak lagi secara kesimpulannya memang mendatangkan kepuasan; sehinggakan permaisuri di dalam cerita dongeng Snow White pun tidak ketinggalan memerlukan dinding untuk cermin ajaibnya.

Dinding merupakan sesuatu objek yang memisahkan satu ruang dengan ruang lain. Ianya memberikan erti tertentu buat seseorang terutama sekali bagi yang sedar akan wujudnya objek ini melalui pengalaman.[4]

Ruang ini membawa niat mengajak pembaca menjelajah dinding dengan lebih luas, agar dapat membuka dinding pendengaran, penglihatan, pemikiran dan perasaan kita serta supaya peka terhadap kompleksiti alam yang berkaitan dengan satu objek yang dianggap biasa dan kadang-kadang tidak kelihatan.

Berbagai dinding harus dirobohkan dan sudah pasti pula digantikan dengan lapisan dinding lain. Apakah dinding yang akan runtuh dan apakah pula dinding yang akan terserlah? Adakah  berinteraksi dengan dinding ini adalah demi kepuasan? kepuasan apakah yang akan didapati dengan meruntuhkan sesuatu dinding itu dan atau mendedahkan yang lainnya? menghasilkan inspirasi, kesemuanya membawa kebaikan buat seluruh manusia di bumi ini?

Dengan apa nama sekalipun, persoalan utama ialah, adakah dinding yang diwujudkan seuniversal dinding di antara air tawar dan air masin atau di antara yang buta dengan yang melihat, atau di antara yang haq dengan yang batil? Ataupun mungkinkah dinding itu berpintu?


 ----------------------------------------------------------------


[1] Sebelum Zuckerberg dan Facebooknya (2004), Larry Wall  terlebih dahulu telah menghasilkan of the aplikasi News Reader-Usenet client pada tahun 1998 (Usenet @ News Net merupakan sebuah buletin board yang sangat besar dan tersebar di seluruh dunia yang dapat digunakan untuk bertukar artikel).

[2] Kaedah; berbeza dengan Sistem Hidup (System Of Life)

[3] Pendengaran dan Penglihatan.

[4] Artikel “Dinding”, Wan Burhanuddin. Buletin Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia ms57. 1995, Vol 8, 1996.



ditulis oleh : Maher Dien


2 Comments:

eva said...

bolos saja dinding itu~~ haha..

entri yg menarik.. x terpikir pun.

ikaa said...

wall tue dinding erkk... wall fesbuk kan..erkk blog nie da 2 writer ke??